Umum

Panikan SPRM, Suspek Bakar Wang Hampir RM1 Juta Dalam Tandas

Dalam cubaan terdesak untuk melupuskan bukti, seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan terkemuka sanggup membakar wang tunai hampir RM1 juta ketika kediamannya diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis lalu.

Menurut sumber, suspek yang terlibat dalam siasatan rasuah tender projek pembinaan pusat data bernilai kira-kira RM180 juta di Johor itu bertindak nekad membakar beberapa bungkusan wang kertas RM100 sebaik menyedari kehadiran pegawai SPRM.

Pasukan penyiasat mendapati rumah suspek dipenuhi asap tebal dengan sumbernya berpunca dari bilik mandi, di mana wang tunai itu dibakar.

Selain wang yang musnah separa, SPRM turut merampas kira-kira RM7.5 juta wang tunai yang disimpan dalam kotak bantal, tiga utas jam tangan mewah jenama Rolex, Omega, Cartier, serta pelbagai barang kemas.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan insiden tersebut sambil menegaskan cubaan melupuskan bahan bukti adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

Fokus utama siasatan kini tertumpu di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 berkaitan kesalahan rasuah.
Setakat ini, seorang pengurus kontrak syarikat bersama isterinya serta dua pengarah syarikat berkenaan telah direman bagi membantu siasatan.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top