Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan beberapa langkah drastik bagi membendung kes buli dan meningkatkan keselamatan pelajar di semua institusi pendidikan bawah seliaannya, susulan kematian tragis pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir di Papar, Sabah bulan lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad, berkata KPM akan mengemaskini SOP keselamatan sekolah dan tatacara menangani masalah disiplin, termasuk kes buli, agar relevan dengan keperluan semasa.
Antara langkah segera yang diumumkan:
- Audit Keselamatan di semua sekolah dan institusi pendidikan, termasuk sekolah berasrama, dalam tempoh tiga bulan. Audit ini akan menilai tahap pematuhan SOP keselamatan.
- Portal Aduan Buli Dipermudah – pelajar yang membuat aduan boleh memilih untuk kekal tanpa nama bagi melindungi identiti mereka dan saksi.
- Penubuhan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan melibatkan ahli akademik, pakar pelbagai bidang, NGO, polis dan ibu bapa, bagi memperkukuh aspek keselamatan sekolah.
- Tindakan Tegas terhadap pelajar yang membuli, termasuk penggantungan atau buang sekolah, serta program intervensi untuk pelajar yang digantung.
- Tindakan Disiplin terhadap guru atau pegawai pendidikan di peringkat daerah atau negeri yang gagal mengambil tindakan terhadap aduan buli.
“Tiada kompromi terhadap kes buli. Tindakan tegas mesti diambil,” tegas Azam.
Langkah ini diambil susulan insiden pada 16 Julai lalu, apabila Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Polis menjalankan bedah siasat semula pada 10 Ogos yang mengambil masa lapan jam, bagi melengkapkan siasatan.
Kematian Zara Qairina mencetuskan perhimpunan di beberapa lokasi di Sabah pada Jumaat lalu, menuntut tindakan segera membanteras budaya buli di sekolah.
