AirAsia X (AAX) menegaskan bahawa pendaratan penerbangan D7506 dari Kuala Lumpur ke Incheon pada 13 Ogos di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo, Korea Selatan, bukanlah kesilapan mendarat, sebaliknya langkah keselamatan yang dirancang.
Menurut AAX, pesawat dilencongkan ke Gimpo untuk mengisi minyak berikutan cuaca buruk dan kesesakan trafik udara di Lapangan Terbang Incheon.
“Salah faham komunikasi berlaku ketika pengumuman kru kabin, namun kapten segera menjelaskan pendaratan di Gimpo adalah untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Incheon,” jelas syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan risiko mendarat dengan bahan api di bawah paras keperluan. Pesawat kemudiannya berlepas semula ke Incheon dan semua penumpang selamat menuruni pesawat di destinasi asal.
AAX juga memaklumkan bahawa penumpang terjejas akan menerima baucar perjalanan, dan pihak syarikat akan menambah baik cara penyampaian maklumat kepada penumpang bagi mengelakkan salah faham pada masa depan.
