Helang putih diumumkan sebagai maskot rasmi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, menurut hantaran di laman Facebook rasmi SUKMA Selangor.
Maskot itu diperkenalkan dalam versi jantan dan betina, membawa mesej kekuatan, keberanian, kepantasan serta ketangkasan – nilai yang selari dengan semangat kesukanan dan belia negara.
Pemilihan helang putih juga mengimbau sejarah kerana burung tersebut pernah menjadi maskot ketika Selangor menjadi tuan rumah SUKMA pada 1998.
Maksud di Sebalik Reka Bentuk Maskot
- Simbol Kekuatan dan Semangat Belia
- Diilhamkan daripada Helang Putih (Icthyophaga leucogaster).
- Sayap berwarna coklat melambangkan peringkat kematangan burung helang, penuh tenaga dan potensi.
- Menjiwai kekuatan, aspirasi serta semangat juang atlet SUKMA.
- Gandingan Dinamik Lelaki dan Wanita
- Direka dalam bentuk pasangan jantina berbeza yang seimbang dan serasi.
- Watak lelaki digambarkan lebih gagah dari segi saiz, manakala watak wanita lincah dan berani.
- Melambangkan perpaduan, keterangkuman dan sinergi atlet dalam dunia sukan.
- Identiti Negeri Menerusi Warna dan Pakaian
- Menampilkan warna ikonik Selangor iaitu merah, kuning dan putih.
- Elemen api, pakaian dan kasut sukan menyerlahkan tenaga moden serta gaya kesukanan.
- Ekspresi penuh makna – dari gaya ke gerak, dari hati ke aksi.
SUKMA 2026: Rentak Kita, Aksi Kita
Temasya ini akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan Para SUKMA 2026 menyusul pada bulan September. Tema rasmi, “Rentak Kita, Aksi Kita”, dijangka menjadi pemacu semangat kepada para atlet dan seluruh rakyat Malaysia menjelang temasya terbesar belia negara itu.
