Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan bahawa agensi itu membelanjakan RM20 juta untuk proses penjenamaan semula atau rebranding.
Menurut kenyataan rasmi di laman Facebook, TH menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar dan bersifat fitnah. Penjelasan lanjut mengenai isu ini akan diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 18 Ogos 2025 di Parlimen.
TH menjelaskan bahawa:
- Peruntukan sebenar bagi proses brand rejuvenation adalah RM2 juta setahun untuk tempoh 3 tahun, bukannya RM20 juta.
- Penjenamaan semula ini penting untuk mengubah minda serta menarik minat umat Islam agar menabung secara konsisten bagi persediaan menunaikan haji.
- Tinjauan pasaran dan libat urus pendeposit mendapati perubahan demografi masyarakat Islam Malaysia memberi kesan besar kepada corak tabungan.
- Ketika ini, TH mempunyai 9.6 juta pendeposit, namun lebih 53% daripada mereka hanya mempunyai simpanan kurang RM1,300 — jauh daripada mencukupi untuk kos haji semasa.
- Kos menunaikan haji untuk jemaah kumpulan B40 pada tahun 2025 adalah RM15,000 seorang.
Selain itu, lebih 80% daripada transaksi kewangan kini dilakukan secara digital, justeru TH mahu memastikan strategi penjenamaan baharu dapat menarik minat generasi muda serta mengekalkan kelestarian institusi.
“Usaha penjenamaan adalah agenda strategik untuk memelihara kepentingan pendeposit dan memastikan Tabung Haji terus relevan berdepan cabaran semasa,” menurut kenyataan itu.
