PETALING JAYA, 16 Ogos – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan rasmi Amir Hamdan sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), berkuat kuasa 15 Ogos 2025.
Pelantikan ini menyusuli peranan beliau sebagai Pemangku PGCEO sejak 1 Julai lalu, sekali gus menandakan kesinambungan kepimpinan dalam memastikan operasi pengangkutan awam negara berjalan lancar.
Pengerusi Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, menyifatkan pelantikan rasmi itu sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang Amir sepanjang perkhidmatannya.
“Beliau telah membuktikan kemampuan dengan kepimpinan berwibawa yang berteraskan Budaya Tatakerja syarikat. Lembaga Pengarah yakin beliau mampu memacu Prasarana ke tahap lebih tinggi selaras dengan matlamat nasional memperkukuh sistem pengangkutan awam negara,” katanya.
Amir, yang menyertai Prasarana pada 2019, memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam kewangan, operasi dan strategi korporat. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.
Mengulas pelantikannya, Amir berkata beliau menerima amanah besar ini dengan penuh rendah hati.
“Dengan sokongan seluruh warga kerja Prasarana, saya bertekad memperkukuh sistem pengangkutan awam negara melalui pendekatan inklusif, berdaya saing dan berteraskan rakyat,” katanya.
Sepanjang menerajui Rapid Rail, Amir telah memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel kendalian Prasarana.
Pelantikan beliau turut dilihat menyokong visi Prasarana “Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman” serta aspirasi kerajaan meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam kepada 40% menjelang 2030.
Sumber: Prasarana / Rapid KL FB
