Travel

LADA & MAG Lancar Kempen Promosi Percutian ke Langkawi dengan Tawaran Istimewa

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersama Malaysia Aviation Group (MAG) melancarkan kempen Langkawi Special Deals bagi merancakkan pelancongan domestik ke Pulau Langkawi khususnya di luar musim percutian.

Kempen yang berlangsung dari Oktober hingga Disember 2025 ini menawarkan pelbagai pakej percutian menarik termasuk rebat penerbangan, hotel, kawasan tarikan, membeli-belah, kedai bebas cukai serta perkhidmatan pelancongan lain.

Diskaun Hingga 70%

Menurut kenyataan rasmi LADA, pengunjung bakal menikmati diskaun eksklusif sehingga 70% ke atas produk dan perkhidmatan terpilih melalui rakan kerjasama kempen.

Melalui MHholidays, cabang pelancongan Malaysia Airlines, pelanggan boleh mendapatkan promosi penerbangan dan hotel dengan penjimatan sehingga RM400. Selain itu, platform gaya hidup MAG, Journify, turut menawarkan rebat tambahan sebanyak RM30 untuk pakej lawatan dan tarikan di Langkawi.

Sokongan Industri Pelancongan

MoU kerjasama antara LADA dan MAG ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Iskandar Kaus dan Ketua Pegawai Eksekutif Kesetiaan & Perkhidmatan Perjalanan MAG, Philip See, disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying di Park Hyatt Kuala Lumpur semalam.

Lim menegaskan inisiatif ini selaras dengan usaha negara menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), dengan menekankan kepentingan promosi strategik, kerjasama inovatif serta penglibatan komuniti dalam memastikan pertumbuhan sektor pelancongan.

Iskandar pula berkata kempen ini akan menyatukan pemain industri pelancongan Langkawi di bawah satu jenama sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke pulau legenda itu.

“Kami berhasrat menjadikan ia acara tahunan untuk Langkawi,” ujarnya.

Sementara itu, Philip See menekankan komitmen MAG untuk memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai salah satu destinasi ikonik Malaysia.

Lebih Banyak Rakan Kerjasama Akan Diumumkan

Menurut LADA, lebih banyak rakan strategik akan diperkenalkan dalam beberapa bulan akan datang bagi memperluas tawaran istimewa kempen Langkawi Special Deals.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top