SERDANG, 5 Sept – Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M, beberapa tokoh pelbagai bidang telah menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka kepada agama, masyarakat dan negara.
Anugerah Tokoh Perdana
Penerima tertinggi tahun ini, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, dinobatkan sebagai Tokoh Perdana. Pengiktirafan ini menyanjung sumbangan beliau dalam memperkukuh institusi Islam serta pembangunan ekonomi umat.
Anugerah Tokoh Agamawan / Kepimpinan Dakwah
Tuan Guru Syeikh Haji Wazir bin Awang, Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan & Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, menerima anugerah ini sebagai menghargai dedikasi beliau dalam dunia dakwah dan pendidikan pondok.
Anugerah Tokoh Usahawan / Teknorat Berjaya
Usahawan dan pencipta kandungan digital, Khairul Amin Kamarulzaman, yang dikenali ramai sebagai personaliti media sosial, diiktiraf atas kejayaan beliau mengangkat nilai positif melalui platform digital.
Anugerah Tokoh Wira Negara
Ismail Abdul Ghani, Penolong Pesuruhjaya Bomba, menerima penghargaan sebagai wira negara atas keberanian dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat.
Anugerah Tokoh Belia Harapan
Dayang Nur ‘Maisarah Abang Abdul Razak, Pegawai Khas (Hal Ehwal Islam) kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Islam Sarawak, dipilih sebagai ikon belia yang menyerlah dalam kepimpinan dan khidmat masyarakat.
Anugerah Tokoh Pengkarya/Inovator Kreatif
Muhammad Usamah Zaid Yasin, CEO Wau Animation, diiktiraf atas kejayaannya membawa karya animasi tempatan ke persada antarabangsa, sekaligus membuktikan kreativiti juga sebahagian daripada perjuangan dakwah moden.
Anugerah Saudara Baru Cemerlang (Muallaf)
Pelakon Ardini Angeline Tan menerima anugerah ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen beliau mendalami Islam serta sumbangan positif dalam dunia seni.
Pengiktirafan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh umat Islam untuk terus meneladani perjuangan Rasulullah SAW, menyemarakkan dakwah, memperkasa ummah serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
