Umum

‘Tol Percuma’, Suami Isteri Ditahan Guna Kad Touch ’n Go Digodam

Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai menggunakan kad Touch ’n Go (TnG) yang digodam untuk membayar tol sejak lebih setahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Seri Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua suspek – seorang lelaki tempatan dan isterinya yang merupakan warga China – diberkas pada 9 September berikutan aduan daripada pihak TnG mengenai ketidakseimbangan hasil kutipan tol di beberapa plaza.

Menurut laporan, kad yang digunakan adalah kad TnG asli namun telah digodam dengan memasukkan nilai sehingga RM300 menggunakan perisian khas. Kad tersebut kemudian dijual pada harga antara RM150 hingga RM200 sekeping.

“Kad ini adalah asli, tetapi digodam menggunakan dua perisian khas. Kami tidak menolak kemungkinan suspek turut menjual kad ini kepada pihak lain,” jelas Alzafny.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 213 kad disahkan digodam dengan jumlah kerugian mencecah RM59,920 hanya untuk bulan Julai dan Ogos. Jumlah kerugian sebenar dijangka lebih tinggi kerana siasatan masih dijalankan.

Pihak polis kini sedang memburu seorang lelaki tempatan dipercayai sebagai pembekal utama kad tersebut. Kedua-dua suspek yang ditahan telah direman selama empat hari sehingga 13 September untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top