Acara “Where Clouds Meet the Sea, Culture Finds Its Harmony” Picturesque Zhejiang (Malaysia) Cultural and Tourism Promotion Event telah berlangsung dengan jayanya di ibu negara pada 17 September lalu. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Wilayah Zhejiang dan dihadiri kira-kira 120 tetamu jemputan.
Antara yang hadir termasuk YBrs. Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta Xu Xiao, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Pelancongan Wilayah Zhejiang. Turut serta ialah wakil agensi pelancongan dan kebudayaan terkemuka dari kedua-dua negara serta pengamal media.
Jalinan erat Malaysia – Zhejiang
Dalam ucapannya, Xu Xiao menekankan hubungan lama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan antara Zhejiang dan Malaysia. Beliau turut menyatakan hasrat Zhejiang untuk menarik lebih ramai pelancong Malaysia menikmati landskap indah, warisan budaya dan pembangunan moden wilayah tersebut.
Sementara itu, Encik Chua Choon Hwa menyifatkan persahabatan erat Malaysia–China sebagai asas kukuh bagi kerjasama berterusan, selain menyokong usaha memperluas pertukaran pelancongan serta kebudayaan. Beliau menambah, program ini seiring dengan momentum kempen “Visit Malaysia Year 2026 (VMY2026)”.
Persembahan budaya & peluang kerjasama
Acara berkenaan turut menampilkan persembahan budaya secara langsung dan tayangan video imersif yang mempamerkan keindahan semula jadi, seni tradisi dan pembangunan bandar Zhejiang.
Syarikat penerbangan China Eastern Airlines turut mengambil bahagian dengan memperkenalkan laluan penerbangan serta program pelancongan, diikuti cabutan bertuah menawarkan dua tiket pergi balik Malaysia–Zhejiang.
Selain itu, sesi business networking turut diadakan, mengumpulkan lebih 60 wakil syarikat pelancongan dan penerbangan dari Malaysia serta Zhejiang bagi membincangkan kerjasama strategik dan memperluas pakej perjalanan bersama.
Langkah ini dijangka memperkukuh hubungan pelancongan dua hala, membuka laluan baharu kepada pertumbuhan mampan serta mengukuhkan lagi kerjasama budaya dan ekonomi Malaysia–China.
