Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan semua bakal jemaah haji agar segera mengemas kini profil maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M dapat berjalan dengan lancar.
Menurut TH, tindakan ini penting bagi memastikan semua jemaah menerima maklumat terkini berkaitan taklimat, kursus serta panduan perjalanan ke Tanah Suci dengan tepat dan pada masa yang sesuai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad, menegaskan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan agensi itu untuk memperkemas urusan bakal jemaah.
“TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini bagi urusan haji dapat diatur dengan sebaik-baiknya. Kami berharap agar semua bakal haji dapat memberikan kerjasama untuk mengemas kini profil masing-masing dalam masa terdekat,” katanya.
TH turut memaklumkan bahawa terdapat 521 bakal haji dalam senarai giliran 1447H/2026M yang masih belum dapat dihubungi, dan perkara ini boleh menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat penting termasuk jadual kursus, taklimat serta tawaran rasmi.
Bakal jemaah disarankan untuk menyemak giliran menunaikan haji melalui platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH seluruh negara.
Untuk kemas kini maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel, jemaah boleh hadir ke pejabat cawangan TH terdekat atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
Selain itu, TH turut menasihatkan bakal jemaah agar membuat persediaan awal dari segi kesihatan, kewangan dan ilmu ibadah haji bagi memastikan perjalanan dan urusan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna serta mencapai haji yang mabrur.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di portal rasmi https://peneraju.org.
