Umum

Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Ganja Bernilai Hampir RM100 Juta

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan empat cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja seberat lebih 1,000 kilogram bernilai hampir RM98 juta, dalam siri operasi berasingan di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 baru-baru ini.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad, berkata kejayaan itu hasil tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan JKDM dengan kerjasama beberapa agensi keselamatan lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Menurut beliau, lima lelaki tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Empat kes ini membabitkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja ke luar negara, khususnya ke pasaran Eropah, menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran sebagai barangan dagangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pertama pada 1 Oktober, seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 1 selepas disenarai hitam kerana tunggakan duti dan cukai. Pemeriksaan ke atas bagasi suspek menemui 21.04 kilogram bunga ganja bernilai kira-kira RM2.06 juta. Suspek telah didakwa di mahkamah baru-baru ini.

Kes kedua pada 27 September pula melibatkan rampasan 220.32 kilogram dadah bernilai RM21.59 juta dalam sebuah lori kurier di pintu masuk eksport KLIA. Dadah tersebut dikesan dalam 21 bungkusan yang dipercayai dalam perjalanan untuk dieksport ke sebuah negara Eropah.

Bagi kes ketiga, yang dijalankan pada 29 dan 30 September, serbuan di dua gudang logistik di Shah Alam dan Subang Jaya menemui 52 kotak bungkusan dadah daripada empat konsainan berbeza dengan berat keseluruhan 464.58 kilogram bernilai RM45.53 juta.

Sementara itu, dalam kes keempat pada 3 Oktober, pihak berkuasa merampas 294.35 kilogram bunga ganja bernilai RM28.85 juta di pintu masuk eksport Zon Bebas KLIA, yang turut menggunakan lori kurier bagi membawa keluar 28 bungkusan dagangan ke luar negara.

Zulkifli menjelaskan, bagi kes kedua hingga keempat, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan ganja dalam kotak berlabel jenama tuala premium yang dibungkus rapi dengan plastik kedap udara bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Empat lelaki termasuk pemandu lori kurier serta pemilik gudang logistik turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau menegaskan JKDM akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk utama negara, termasuk saluran logistik dan kurier antarabangsa, bagi membanteras cubaan penyeludupan dadah ke luar negara.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top