Sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2025, HOYA Malaysia meneruskan komitmennya untuk melindungi penglihatan generasi muda menerusi inisiatif berterusan A Million Visions, yang menawarkan pemeriksaan mata percuma untuk kanak-kanak di seluruh negara.
Kempen ini dijalankan mulai 16 hingga 22 Oktober 2025 di lebih 800 Kedai Optik Penjagaan Mata Profesional yang mengambil bahagian di seluruh Malaysia. Ia terbuka untuk kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun, bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan pengesanan awal masalah penglihatan dan mendapatkan penilaian profesional sebelum keadaan menjadi serius.
Tingkat Kesedaran Myopia Kanak-kanak
Menurut HOYA Vision Care, kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang syarikat dalam menangani peningkatan kes myopia (rabun jauh) dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Melalui penggunaan kanta MiYOSMART, yang dibangunkan dengan Teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (D.I.M.S.), HOYA menawarkan pendekatan klinikal yang terbukti secara global untuk melambatkan perkembangan myopia secara semula jadi dan tanpa invasif.
Kanta MiYOSMART telah diiktiraf oleh pakar penjagaan mata antarabangsa sebagai penyelesaian berkesan untuk pengurusan rabun kanak-kanak, membolehkan mereka menikmati penglihatan yang lebih jelas sambil memperlahankan kadar kemerosotan penglihatan dari masa ke masa.
Subsidi RM350 Untuk Kanta Kawalan Myopia
Sebagai tambahan kepada pemeriksaan mata percuma, HOYA Malaysia turut memperkenalkan Subsidi HOYA MiYOSMART Early Control di bawah kempen A Million Visions.
Program ini menawarkan subsidi bernilai RM350 bagi setiap pembelian kanta MiYOSMART, bagi memudahkan lebih ramai keluarga mendapatkan akses kepada penjagaan mata berkualiti tinggi pada kos yang lebih mampu milik.
“Ramai kanak-kanak terlepas peluang mendapatkan penjagaan mata awal disebabkan kurang kesedaran, akses dan kos. Sebagai peneraju dalam penjagaan penglihatan, kami berasa bertanggungjawab untuk bertindak,” jelas Lew Chee Quin, Pengarah Urusan Malaysian Hoya Lens Sdn. Bhd.
“Melalui kempen ini, kami mahu membantu keluarga mengambil langkah pertama melindungi penglihatan anak-anak mereka dengan pemeriksaan mata profesional di seluruh negara. Ini bukan sekadar kempen bermusim, tetapi sebahagian daripada komitmen jangka panjang kami terhadap kesihatan mata kanak-kanak,” tambah beliau.
Inovasi Baharu: MiYOSMART Coating STX
Tahun ini, HOYA turut memperkenalkan MiYOSMART Coating Smooth Touch Xtreme (STX) — inovasi terkini dalam penjagaan kanta cermin mata kanak-kanak.
Kanak-kanak diketahui aktif dan kerap mengelap kanta mereka, malah kajian menunjukkan kanta boleh dilap sehingga 8,000 kali sepanjang tempoh penggunaannya, biasanya menggunakan kain atau pakaian yang boleh merosakkan salutan kanta.
Salutan STX direka untuk memberikan ketahanan tinggi, mudah dibersihkan, dan perlindungan kalis air, minyak serta cap jari bagi mengekalkan kejelasan penglihatan lebih lama. Malah, ia terbukti mengekalkan prestasi optimum walaupun selepas 2.7 tahun penggunaan biasa.
Dengan inovasi ini, kanak-kanak kini boleh memakai cermin mata mereka lebih selesa — tidak kira ketika bermain, belajar mahupun meneroka dunia luar — sambil membantu melambatkan perkembangan myopia secara berkesan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen A Million Visions dan senarai kedai optik yang mengambil bahagian, orang ramai boleh melayari laman rasmi HOYA Vision Care Malaysia atau berkunjung ke outlet optik profesional terdekat.
