Umum

Adakah Influenza Punca Kematian Murid Tahun Lima di Dungun?

Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mas, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di Dungun dilaporkan meninggal dunia awal pagi Rabu selepas mengalami gejala demam yang disyaki berpunca daripada jangkitan influenza.

Mangsa, Muhammad Amsyar Farhan Mohd Noor, 11, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.40 pagi di Klinik Kesihatan Al-Muktafi Billah Shah.

Menurut ibunya, Normala Mohd Nor, 42, anak bongsunya itu mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat pada pagi Selasa sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta di Paka bagi mendapatkan rawatan.

“Doktor buat ujian swab dan beritahu dia dijangkiti influenza sebelum beri ubat antiviral. Malamnya dia muntah beberapa kali dan tiba-tiba badannya kejang. Kami terus bawa ke klinik kesihatan, tapi sekitar jam 1.40 pagi doktor maklumkan dia sudah tiada,” katanya sebak ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Normala memaklumkan anaknya sebelum ini sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik. Jenazah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk proses bedah siasat sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AMBS selepas solat Maghrib.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan punca sebenar kematian.


⚠️ Nota Penting

Influenza boleh menyebabkan komplikasi serius terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas dan individu berisiko tinggi.
Dapatkan rawatan segera sekiranya demam berpanjangan disertai muntah, sesak nafas atau kekejangan otot berlaku.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top