.
Sebanyak 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut penjelasan penuh berhubung penjualan dan perubahan guna tanah yang melibatkan kawasan milik Zoo Negara, selepas pendedahan bahawa lot seluas 21.43 hektar itu telah dipindah milik kepada syarikat swasta beberapa tahun lalu.
Menurut Ketua Koordinator AJ Rimba Collective, Noina Baharuddin, tanah tersebut sebelum ini dimiliki oleh Persatuan Zoologi Malaysia, badan yang bertanggungjawab mengurus operasi Zoo Negara.
“Beberapa lot tanah ini — bersamaan kira-kira 53 padang bola — sudah dijual atau dipindah milik secara senyap dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu.
Lebih membimbangkan, tanah tersebut kini diklasifikasi semula daripada ‘kemudahan sukan dan rekreasi swasta’ kepada ‘komersial’ dalam Rancangan Tempatan Ampang Jaya 2035,” katanya pada sidang media di C4 Center, Phileo Damansara, hari ini.
Turut hadir beberapa NGO alam sekitar dan tadbir urus termasuk Global Environment Centre (GEC), Sahabat Alam Malaysia, RimbaWatch dan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center).
Noina menegaskan, sebarang pembangunan di kawasan itu tanpa kelulusan sewajarnya berpotensi menimbulkan risiko seperti tanah runtuh, banjir dan hakisan.
“Kawasan yang diperuntukkan untuk manfaat awam sepatutnya kekal dilindungi. Kami mendesak kerajaan negeri Selangor campur tangan untuk menghalang sebarang pemindahan pemilikan baharu,” katanya.
NGO berkenaan turut menuntut agar kerajaan negeri:
- Mendedahkan alasan rasmi di sebalik kelulusan perubahan status tanah.
- Menjamin baki lot tanah Zoo Negara kekal dilindungi.
- Mewartakan segera lot yang telah dijual sebagai tanah lapang awam.
Difahamkan, tanah berkenaan kini dimiliki sebuah syarikat katering dan pelaburan swasta, selepas dibeli dengan harga sekitar RM26 juta.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly Lana, menjelaskan bahawa penjualan dilakukan ketika zoo menghadapi krisis kewangan semasa pandemik Covid-19, dengan hanya RM1 juta baki dana untuk memberi makan kepada haiwan.
“Kos makanan harian mencecah RM1.3 juta hingga RM1.5 juta sebulan. Kami tiada pilihan selain menjual tanah berbukit itu, yang tidak pernah digunakan sejak 1963 dan sukar dibangunkan,” katanya.
