Umum

Kerajaan Cadang Hadkan Dua Kad SIM Bagi Setiap Syarikat Telekomunikasi Mulai 2026

Pengguna telefon bimbit di Malaysia dijangka hanya dibenarkan memiliki maksimum dua nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi mulai tahun hadapan.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membendung penyalahgunaan kad SIM yang semakin membimbangkan, terutamanya dalam kes penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu serta akaun media sosial palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata rundingan awam bagi penyediaan garis panduan baharu sedang dijalankan dan dijangka selesai pada hujung November ini. SKMM menyasarkan agar peraturan tersebut dapat dikuatkuasakan seawal suku pertama tahun 2026.

“Dengan mengetatkan garis panduan ini, kita berharap dapat mengurangkan penyalahgunaan kad SIM prabayar yang sering digunakan untuk mendaftar akaun media sosial bagi tujuan penipuan, penyebaran maklumat palsu atau ugutan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Berdasarkan garis panduan semasa yang diperkenalkan sejak 2017, setiap individu dibenarkan mendaftar sehingga lima nombor prabayar bagi setiap penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Ini bermakna seseorang boleh memiliki sehingga 25 nombor daripada lima syarikat berbeza.

Selain menambah baik kawalan pemilikan kad SIM, kerajaan turut melihat keperluan mengukuhkan keupayaan forensik digital di bawah SKMM serta merangka dasar penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika bagi memastikan keselamatan data dan pengguna terus terpelihara.

Langkah baharu ini dijangka memberi kesan langsung kepada semua pengguna prabayar, namun pada masa sama memperkukuh keselamatan digital nasional dan meningkatkan kepercayaan terhadap ekosistem komunikasi dalam talian negara.


 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top