Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (Malaysia Healthcare Travel Council, MHTC) telah menamatkan lawatan familiarisasi selama empat hari oleh pegawai kanan Royal Oman Police (ROP) yang berlangsung dari 21 hingga 24 Oktober 2025.
Delegasi tersebut diketuai oleh Brigadier Dr. Naseer Al-Manthery, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan bagi Perkhidmatan Keselamatan, dan turut disertai beberapa pegawai kanan perubatan ROP. Lawatan itu memberi peluang kepada mereka menilai keupayaan klinikal serta sistem penjagaan pesakit antarabangsa di hospital-hospital utama Malaysia.
Antara fasiliti yang dilawati termasuk KPJ Damansara Specialist Hospital 2, Prince Court Medical Centre, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (Melaka), dan Sunway Medical Centre. Sepanjang lawatan, para pegawai ROP turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan hospital mengenai laluan rujukan pesakit antarabangsa, peluang latihan klinikal, program pertukaran doktor serta kerjasama dalam bidang pembangunan kepakaran perubatan.
Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada jalinan kerjasama antara kerajaan (G2G) yang dimulakan pada Januari 2025, apabila MHTC dan ROP mula membincangkan bentuk kolaborasi bagi memenuhi keperluan rawatan kesihatan anggota keselamatan Oman serta keluarga mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Suriaghandi Suppiah, lawatan tersebut mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Oman dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Sistem penjagaan kesihatan Malaysia menawarkan kecemerlangan klinikal dengan penyelarasan pesakit yang cekap. Lawatan ini membuktikan kesediaan kami menyokong keperluan rawatan pesakit dari Oman serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Brigadier Dr. Naseer Al-Manthery menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa.
“Kami terkesan dengan kepakaran klinikal dan sistem koordinasi pesakit yang tersusun di hospital-hospital Malaysia. Lawatan ini memberi keyakinan bahawa Malaysia mampu memenuhi keperluan perubatan anggota kami serta keluarga mereka,” ujar beliau.
Lawatan tersebut turut diakhiri dengan majlis makan malam jaringan yang dihoskan oleh Duta Besar Sultanate of Oman ke Malaysia, TYT Sheikh Alabbas Bin Ibrahim Alharthi.
Menariknya, inisiatif ini menjadi pemangkin kepada penganjuran Malaysia Healthcare Week di Oman, yang dijadual berlangsung dari 29 Oktober hingga 5 November 2025. Program itu bertujuan mempromosikan perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia kepada pesakit dan rakan strategik di Oman.
Sebagai pusat sehenti bagi pesakit antarabangsa, MHTC komited untuk menyelaras akses ke rangkaian hospital ahli MHTC serta perkhidmatan perubatan khusus di Malaysia, selaras dengan kempen Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026 yang bakal mengetengahkan pendekatan penjagaan kesihatan bersepadu negara kepada dunia.
