Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu, yang akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027, merupakan usaha memperkukuh pembelajaran pelbagai disiplin ilmu di peringkat sekolah rendah.
Subjek ini akan diperkenalkan kepada murid Tahap I (Tahun 1 hingga Tahun 3) dan akan menggantikan empat mata pelajaran sedia ada iaitu Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.
Menurut kenyataan KPM di laman rasmi Facebook, Alam dan Manusia menggabungkan pelbagai bidang ilmu termasuk sains, kesihatan, muzik, seni visual, TVET dan digital, sejajar dengan matlamat membentuk murid yang seimbang dan bersedia menghadapi dunia pembelajaran masa depan.
Dijalankan secara pengajaran berpasukan
Kaedah pelaksanaan subjek ini akan menggunakan pendekatan pengajaran berpasukan (team teaching) — di mana guru daripada pelbagai bidang akan bekerjasama dalam sesi pembelajaran.
“Pengajaran berpasukan menyokong elemen pelbagai disiplin ilmu dalam mata pelajaran ini, yang mana guru saling melengkapi dan menyokong keperluan pembelajaran murid,” kata KPM dalam kenyataan tersebut.
Pendekatan ini dilihat mampu memberi pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh dan kontekstual kepada murid, berbanding pendekatan tradisional yang memisahkan bidang ilmu mengikut subjek.
Fokus kepada kemahiran asas dan pembentukan karakter
KPM turut menjelaskan bahawa di peringkat Tahap I, fokus utama masih tertumpu kepada penguasaan literasi, numerasi dan pembentukan karakter (3M).
“Justeru, jumlah mata pelajaran yang diajar adalah minimum bagi membolehkan murid menguasai kemahiran asas,” menurut kenyataan tersebut.
Perubahan kurikulum ini adalah sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan KPM yang menekankan konsep Pendidikan Manusiawi dan berteraskan nilai Malaysia MADANI, bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal relevan dan progresif.
