Kerajaan bakal memperkenalkan generasi baharu MyKad yang dilengkapi dengan kod QR sebagai ciri keselamatan tambahan, sekali gus membolehkan pengesahan identiti dibuat dengan lebih cepat dan tepat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata penambahan ini sejajar usaha kerajaan membendung pemalsuan dokumen pengenalan, selain meningkatkan tahap keselamatan digital.
“MyKad baharu akan mula diperkenalkan pada 1 Jun tahun depan. Dengan adanya kod QR, ia membolehkan pengesahan digital dilakukan bagi memastikan kad itu tulen,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan kontrak pembekalan baharu bagi MyKad, MyTentera dan MyPoca telah diluluskan kerajaan.
Perubahan Maklumat Masih Boleh Dipohon
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menilai permohonan untuk mengubah maklumat pada MyKad, tertakluk kepada jenis perubahan yang diminta oleh pemohon.
Dalam sesi yang sama, Shamsul berkata kementerian juga akan mengkaji cadangan agar status Bumiputera dan agama dicetak pada MyKad baharu, susulan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin (GPS).
Beliau memberi contoh situasi di mana identiti agama dan kaum seseorang warganegara, khususnya dari Sabah dan Sarawak, sering disalah anggap sehingga menimbulkan kekeliruan dalam urusan harian.
