Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan bahawa perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral akan mula beroperasi secara rasmi bermula 12 Disember 2025.
Menurut KTMB, sebanyak empat perkhidmatan ETS sedia ada laluan KL Sentral – Kluang – KL Sentral kini dilanjutkan sehingga ke JB Sentral, sekali gus memberi kemudahan perjalanan lebih pantas dan selesa kepada rakyat Johor serta pengguna dari Lembah Klang.
Pengoperasian ini juga menandakan siap sepenuhnya Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) yang melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 192 kilometer serta meliputi 11 buah stesen utama.
Bagaimanapun, perkhidmatan ETS ke sektor Selatan akan diaktifkan secara berfasa, selaras dengan proses pentauliahan set ETS yang turut melibatkan laluan ke sektor Utara.
Tiket Dijual Bermula 9 Disember, Tambang Dari RM82
Jualan tiket akan bermula 9 Disember 2025 (Selasa), jam 12.30 tengah malam bagi tempoh perjalanan sehingga Mei 2026.
Tiket boleh dibeli melalui:
- Aplikasi KITS Style
- Laman web rasmi KTMB
- Mesin kios KTMB
Kadar tambang bagi laluan KL Sentral – JB Sentral bermula dari RM82 sehala, manakala harga bagi hentian lain boleh disemak melalui aplikasi KITS Style.
Antara stesen hentian utama termasuk: JB Sentral, Paloh, Kempas Baru, Bekok, Kulai, Labis, Layang-Layang, Segamat, Rengam, Gemas, Kluang, Pulau Sebang/Tampin, Seremban, Kajang, Bandar Tasik Selatan dan KL Sentral.
Jadual Perkhidmatan Mulai 12 Disember 2025
Antara perkhidmatan harian yang ditawarkan:
- KL Sentral → JB Sentral: 7.45 pagi & 5.35 petang
- JB Sentral → KL Sentral: 8.40 pagi & 4.20 petang
Mulai 1 Januari 2026, penjadualan baharu akan berkuat kuasa dengan waktu perjalanan hampir sama bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Diskaun Istimewa 30 Peratus ETS Sektor Selatan
KTMB turut menawarkan diskaun istimewa sebanyak 30% bagi perjalanan ETS Sektor Selatan dari 12 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026.
Penumpang hanya perlu menggunakan kod promosi JBBEST semasa pembelian tiket. Tawaran ini terhad kepada 5,000 kod promosi sahaja dan tertakluk kepada terma serta syarat.
Pacu Pelancongan & Mobiliti Rakyat Johor
Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang juga memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata pembukaan perkhidmatan ETS ke JB Sentral membolehkan rakyat Johor menikmati perjalanan terus ke KL Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain di Utara dan Pantai Timur.
Menurut beliau, kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan mobiliti harian rakyat, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta ekonomi Johor dengan menarik lebih ramai pelancong, termasuk dari Singapura.
“Pengoperasian ETS ini juga hadir tepat pada masanya menjelang musim cuti sekolah dan penghujung tahun, sekali gus merancakkan pergerakan domestik serta aktiviti pelancongan dua hala,” katanya.
Peringatan Kepada Penumpang
KTMB menasihatkan penumpang supaya:
- Merancang perjalanan lebih awal
- Membeli tiket lebih awal bagi mendapatkan tambang fleksibel
- Tiba sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren bergerak
Sebarang maklumat lanjut boleh diperoleh melalui: 🌐 www.ktmb.com.my
📞 Pusat Panggilan KTMB: 03-9779 1200
