Kerajaan Malaysia sambut keputusan yang menegaskan tiada bidang kuasa timbang tara terhadap negara
KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Paris telah membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ berjumlah USD14.9 bilion yang dikeluarkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022, sekali gus memberi kemenangan penting kepada Malaysia dalam kes tuntutan Sulu.
Dalam kenyataan yang disahkan War Room Sekretariat Khas Sulu bagi pihak kerajaan Malaysia, keputusan tersebut telah disampaikan pada 9 Dis, dan penghakiman rasmi diterima awal pagi ini.
Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah yang mengikat Malaysia.
“Mahkamah membatalkan sepenuhnya keputusan yang didakwa sebagai ‘Award Akhir’ oleh penimbang tara. Malaysia yakin kemenangan ini akan menamatkan cubaan tidak berasas oleh penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka, Therium, untuk memeras wang dan aset daripada rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Selain pembatalan award, Mahkamah Rayuan Paris turut mengarah penuntut Sulu membayar kos litigasi berjumlah €200,000 kepada Malaysia.
Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk mempertahankan kedaulatan negara, termasuk imuniti dan kepentingan Malaysia, daripada sebarang tindakan undang-undang susulan.
Ini merupakan perkembangan terbaharu selepas Mahkamah Rayuan Paris menolak pengiktirafan dan pelaksanaan ‘Partial Award’ pada 6 Jun 2023, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Agung Perancis pada 6 Nov 2024.
Latar Belakang Kes
Tuntutan berbilion dolar oleh lapan individu dari Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu bermula di Sepanyol, apabila Mahkamah Madrid melantik Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara pada 2019.
Namun, pelantikan itu dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol, menjadikan proses timbang tara Stampa tidak sah. Walaupun begitu, Stampa tetap mengeluarkan ‘Award Akhir’ pada 28 Feb 2022 yang menyebelahi penuntut.
Keputusan Mahkamah Rayuan Paris ini mengukuhkan lagi pendirian Malaysia bahawa proses tersebut tidak sah dan tidak mempunyai asas undang-undang.
