Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu diperkukuh terlebih dahulu sebelum kerajaan dapat mempertimbangkan sebarang cadangan termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Bercakap kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah, Langkawi, Anwar menekankan bahawa isu bahasa tidak boleh dipisahkan daripada prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi.”
Menurut Anwar, terdapat pelbagai suara kebelakangan ini yang menuntut pengukuhan bahasa Inggeris dan pengiktirafan UEC. Namun, beliau mengingatkan bahawa setiap cadangan mesti meletakkan Bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya.
“Siapa pun yang membawa mesej sesuatu bahasa mesti ingat bahawa Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai semua rakyat Malaysia. Itu kita noktahkan,” katanya.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, teknologi dan AI
Anwar turut menekankan bahawa pemerkasaan Bahasa Melayu tidak hanya terbatas dalam konteks budaya atau komunikasi dasar, tetapi perlu meliputi bidang strategik seperti teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan ilmu masa depan.
Beliau berkata penguasaan Bahasa Melayu perlu ditingkatkan dalam semua aliran pendidikan — termasuk sekolah antarabangsa — yang diwajibkan memastikan pelajar lulus dan mampu menguasai bahasa tersebut.
Penguasaan mantap sebagai pra-syarat sebelum bincang UEC
Menurut Perdana Menteri, pengiktirafan UEC atau cadangan lain berkaitan sistem pendidikan perlu dibincangkan hanya selepas prinsip kedudukan Bahasa Melayu benar-benar dipenuhi.
“Kalau ini sudah jelas, nak bangkitkan soal peningkatan penggunaan Bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi Bahasa Melayu mesti dimantapkan dahulu,” katanya.
Elak cadangan yang menjurus kepada satu kaum atau bahasa
Anwar turut mengingatkan bahawa sebarang cadangan dasar yang fokus kepada satu bahasa atau satu kaum, tanpa mengambil kira bahasa utama negara, berisiko menimbulkan ketegangan dan salah faham.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus mempertahan serta mendukung kedudukan Bahasa Melayu dalam acuan negara majmuk Malaysia.
