Sports

Najib dihukum penjara 15 tahun, denda RM11.38 bilion dalam kes 1MDB

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun serta denda berjumlah RM11.387 bilion terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selepas beliau didapati bersalah dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan hukuman penjara tersebut bermula pada tahun 2028, selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International.

Mahkamah sebelum itu mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Bagi kesalahan salah guna kuasa, Najib dijatuhi hukuman 15 tahun penjara bagi setiap pertuduhan, dengan semua hukuman diperintah berjalan secara serentak.

Sementara itu, bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, mahkamah menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan beliau membayar jumlah boleh pulih sebanyak RM2.08 bilion.

Hakim turut memaklumkan bahawa kegagalan melunaskan jumlah tersebut akan menyebabkan Najib dikenakan hukuman penjara tambahan selama 270 bulan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi kes pengubahan wang haram berjalan serentak dengan hukuman bagi kesalahan salah guna kuasa, dan turut bermula selepas tahun 2028.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut hari ini.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top