Media Thailand lapor perintah berkurung di Narathiwat susulan siri serangan bom
Media melaporkan pihak berkuasa Thailand menguatkuasakan perintah berkurung serta-merta di wilayah Narathiwat susulan beberapa insiden keganasan melibatkan serangan bom dan pembakaran sengaja yang berlaku awal pagi Ahad.
Menurut laporan agensi berita tempatan, penduduk diarahkan untuk tidak keluar dari kediaman masing-masing antara 9 malam hingga 5 pagi, dengan perintah berkenaan berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak.
Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Yodawud Puengpak, dipetik berkata langkah keselamatan bersiri akan dilaksanakan bagi mengekalkan ketenteraman awam, termasuk memperketat kawalan di pusat pemeriksaan di sepanjang sempadan Thailand–Malaysia.
Media turut melaporkan sebanyak 11 stesen minyak di wilayah selatan Thailand menjadi sasaran serangan bom serentak sekitar 1.10 pagi, melibatkan lima stesen di Narathiwat, empat di Yala dan dua di Pattani.
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati serangan berkenaan dipercayai dilakukan oleh kumpulan bersenjata dan bertopeng.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dilaporkan mengesahkan tiada kemalangan jiwa setakat ini. Beliau berkata agensi keselamatan percaya serangan tersebut merupakan satu bentuk “isyarat” berkaitan pilihan raya pentadbir tempatan yang berlangsung pada Ahad, dan bukannya satu pemberontakan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan insiden sedemikian tidak boleh dibiarkan berulang, dan penyelarasan telah dilakukan bersama Tentera Darat Wilayah Keempat serta Polis Wilayah Kesembilan.
Dalam perkembangan sama, jurucakap polis, Yingyot Thepjamnong, dipetik berkata empat individu cedera, termasuk orang awam dan anggota polis. Seorang mangsa dilaporkan merupakan pegawai dari Balai Polis Rangae di Narathiwat yang cedera akibat terkena serpihan bom ketika menjalankan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Tanyongmas.
Polis turut menyeru orang ramai supaya bekerjasama menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 191 atau 1599 yang beroperasi 24 jam.
