Umum

Bedah siasat sahkan 11 kesan tikaman pada guru besar, polis teruskan siasatan kes bunuh

Bedah siasat sahkan 11 kesan tikaman pada guru besar, polis teruskan siasatan kes bunuh

PETALING JAYA – Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat 11 kesan tikaman pada bahagian leher dan dada seorang guru besar yang ditemui maut bersama isterinya di kediaman mereka di Sri Aman, Sarawak, Rabu lalu.

Media melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata bedah siasat yang dijalankan oleh Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapati punca kematian mangsa lelaki adalah akibat kecederaan serius disebabkan tikaman objek tajam.

“Sebab kematian disahkan sebagai neck and chest injuries due to stab wounds,” katanya seperti dipetik laporan media tempatan.

Menurut beliau, hasil bedah siasat ke atas mangsa wanita pula mendapati terdapat luka tikaman di bahagian leher, dengan punca kematian disahkan sebagai neck injury due to stab wounds.

Setakat ini, polis telah merakam keterangan 21 saksi terdiri daripada ahli keluarga, jiran serta rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan.

Mohamad Zainal berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri ditemui maut dengan kecederaan serius di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun.

Mangsa lelaki berusia 45 tahun bertugas sebagai guru besar sebuah sekolah di Lubok Antu, manakala isterinya berusia 44 tahun merupakan seorang jururawat.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top