Umum

Hotel Di Melaka Digantung Lesen Susulan Isu Promosi Kontraversi Tular

Hotel Di Melaka Digantung Lesen Susulan Isu Promosi Kontraversi “Gay Friendly” Tular

Sebuah hotel di Melaka digantung lesen perniagaan sementara oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) susulan isu promosi yang berunsur kontraversi di laman web premis berkenaan yang tular di media sosial.

Yang Dipertua MPHTJ, Sapiah Haron, berkata pemilik hotel berusia dalam lingkungan 70-an telah hadir ke pejabat majlis bagi memberikan penjelasan serta memohon maaf berhubung kandungan promosi tersebut.

Menurut beliau, pemilik premis mengakui kandungan berkenaan berlaku akibat kecuaian pengurusan dan telah diturunkan selepas menyedari isu tersebut menjadi perhatian orang ramai.

Tinjauan di media sosial mendapati isu berkenaan telah mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai, dengan sebahagian besar pengguna menyuarakan pandangan negatif serta tidak bersetuju dengan bentuk promosi yang digunakan.

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk dakwaan penggunaan perkataan-perkataan yang dianggap tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat serta kesesuaian umum di Malaysia.

Semakan lanjut MPHTJ mendapati premis berkenaan turut gagal mendaftar dan membayar caj warisan bagi tahun 2024, selain memerlukan pelesenan tambahan bagi beberapa aktiviti lain yang dijalankan.

Sehubungan itu, MPHTJ menggantung lesen perniagaan sementara dan mengeluarkan satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel) MPHTJ 2011.

MPHTJ turut mengarahkan pemilik premis mematuhi semua syarat pelesenan yang ditetapkan, termasuk keperluan kehadiran sekurang-kurangnya seorang pekerja tempatan di kaunter.

Lesen perniagaan hanya akan dipulangkan selepas semua syarat dipatuhi sepenuhnya.

Pihak berkuasa tempatan menegaskan penguatkuasaan akan terus dijalankan secara adil dan berhemah selaras dengan peraturan sedia ada.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top