Umum

Pelakon Nadia Kesuma Meninggal Dunia Akibat Sakit Jantung

Pelakon tempatan, Nadia Kesuma, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Pengesahan itu dibuat berdasarkan satu perkongsian yang dimuat naik oleh anak perempuannya menerusi akaun Threads miliknya, @myyrraaa, yang memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat masalah jantung.

Menurut perkongsian tersebut, Allahyarham meninggal dunia pada hari sama beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah, sebelum dibawa ke hospital.

Anak perempuannya turut memaklumkan bahawa pihak keluarga hanya menerima berita mengenai pemergian Allahyarham pada malam berikutnya, kira-kira jam 11.30 malam, selepas dimaklumkan oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan berkenaan.

Sebelum ini, Nadia Kesuma dilaporkan gagal dikesan selepas tidak menaiki penerbangan sambungan ke London ketika transit di Jeddah, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarga dan perhatian umum.

Wisma Putra kemudiannya mengesahkan bahawa rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Arab Saudi menunjukkan Allahyarham telah meninggalkan lapangan terbang, sebelum perkembangan terkini mengenai pemergiannya disahkan.

Terdahulu, suami Allahyarham dilaporkan merayu agar kerajaan Malaysia menggerakkan usaha diplomatik bagi mempercepatkan proses pencarian, selain keluarga mendapatkan bantuan Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah.

Allahyarham Nadia Kesuma menyertai kumpulan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan yang melibatkan seramai 21 peserta sejak 14 Januari lalu.

NH Online merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top