Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah membekukan sebanyak 55 akaun persendirian dan akaun syarikat dengan nilai keseluruhan hampir RM15.8 juta, susulan siasatan terhadap IJM Corporation Berhad.
Menurut laporan media arus perdana, tindakan pembekuan akaun itu dibuat selepas SPRM menjalankan penggeledahan di empat lokasi berasingan, termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat berkaitan, menerusi satu operasi khas dikenali sebagai Ops Heart.
Sumber dipetik berkata, siasatan tersebut dikendalikan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM dan melibatkan dua individu pengurusan tertinggi sebuah syarikat konglomerat berstatus mega.
Siasatan tertumpu kepada beberapa aspek termasuk isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai sekitar RM2.5 bilion.
“Pasukan penyiasat telah menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan di kediaman serta pejabat salah seorang pengurusan tertinggi syarikat terbabit. Dalam operasi sama, SPRM turut membekukan 55 akaun bank melibatkan nilai kira-kira RM15.8 juta,” menurut sumber yang dipetik media.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini mengesahkan bahawa sembilan individu, termasuk dua pengurusan tertinggi IJM Corporation, telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion.
Media turut melaporkan seorang individu bergelar Tan Sri serta seorang penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan dalam siasatan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom mendedahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah yang dikaitkan dengan transaksi pelaburan berbilion ringgit melibatkan dua eksekutif syarikat tersebut.
Terdahulu, pada 12 Januari lalu, Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation dengan nilai keseluruhan dianggarkan sekitar RM11 bilion.
