Umum

JPJ sita kereta mewah guna nombor pendaftaran palsu dalam operasi khas di LPT1

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita enam buah kereta mewah dianggarkan bernilai kira-kira RM1.5 juta selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan serius dalam operasi khas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran Karak, hari ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata salah sebuah kenderaan mewah itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran yang digunakan tidak sepadan dengan rekod sebenar kenderaan, sekali gus menimbulkan syak terhadap cubaan mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut mendapati kenderaan terbabit turut melakukan kesalahan lain termasuk tiada cukai jalan dan perlindungan insurans, menjadikan kes ini antara pelanggaran paling serius dikesan sepanjang operasi,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, motif utama penggunaan nombor pendaftaran palsu dipercayai bagi mengelak pengesanan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).

Kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu itu disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan, yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000, selain tindakan undang-undang lain berkaitan.

Dalam operasi sama, JPJ turut menyita 15 buah kereta, lapan motosikal berkuasa tinggi, 102 motosikal bawah 250cc, serta masing-masing sebuah van dan lori.

Operasi yang dijalankan dari jam 6 pagi hingga 1 tengah hari itu turut menyaksikan sebanyak 1,203 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Kifli menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus mengambil tindakan tegas termasuk sitaan kenderaan, tanpa mengira jenis atau nilai kenderaan terbabit.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top