Umum

Had Umur 16 Tahun Media Sosial Dijangka Dikuatkuasakan Seawal Julai

Kerajaan menjangkakan pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial akan dikuatkuasakan seawal Julai tahun ini, sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata inisiatif tersebut kini berada dalam fasa “regulatory sandbox”, bagi membolehkan kerajaan menguji kaedah paling berkesan dan selamat sebelum pelaksanaan penuh dibuat.

Menurut beliau, langkah itu selaras dengan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA), dan perbincangan telah dimulakan bersama penyedia platform media sosial bagi mengenal pasti pendekatan terbaik dalam melaksanakan pengesahan umur pengguna.

“Di bawah OnSA, kita telah memulakan perbincangan dengan penyedia platform. Ketika ini, kita berada dalam fasa regulatory sandbox untuk mencari kaedah paling berkesan dan selamat bagi pengesahan umur pengguna,” katanya.

Teo berkata, sasaran kerajaan adalah untuk melaksanakan langkah tersebut dalam separuh kedua tahun ini, iaitu sekitar suku ketiga atau keempat, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Kerajaan sebelum ini turut menyasarkan agar setiap platform media sosial melaksanakan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) menjelang akhir suku kedua 2026, bagi memastikan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun.

Mengulas mengenai isu buli siber terhadap pemain badminton negara, Toh Ee Wei, Teo berkata beliau masih belum menerima pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung sebarang aduan rasmi setakat ini.

Sementara itu, menyentuh program hari ini, Teo memaklumkan bahawa kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM800 juta bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) tahun ini, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam di seluruh negara.

Di Johor, seramai 586,153 murid menerima manfaat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM87.9 juta, manakala di daerah Kulai sahaja, 58,264 murid menerima bantuan melibatkan peruntukan RM8.7 juta.

Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, penyerahan bantuan secara simbolik hari ini di Sekolah Kebangsaan Putra Utama melibatkan ibu bapa terpilih.

— NH Online

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top