Umum

Semua Exco FAM Letak Jawatan

Gambar FAM

Semua Exco FAM Letak Jawatan Elak Risiko Penggantungan Fifa

PETALING JAYA: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan secara kolektif berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan risiko penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara bagi menegakkan prinsip tadbir urus baik dan akauntabiliti, selain memelihara keyakinan awam terhadap institusi berkenaan.

Menurut beliau, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, akan terus menyelia operasi harian persatuan dengan bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Langkah ini diambil bagi memberi ruang kepada Fifa dan AFC menjalankan penilaian serta semakan bebas, khususnya berkaitan tadbir urus, pentadbiran dan prosedur dalam FAM,” katanya pada sidang media di Wisma FAM.

Setiausaha Agung AFC, Windsor John, berkata AFC akan membentuk pasukan khas diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, bagi menjalankan penilaian menyeluruh termasuk proses ‘benchmarking’ dengan persatuan bola sepak moden.

Kontroversi tercetus selepas Fifa mendenda FAM CHF350,000 dan menggantung tujuh pemain warisan Harimau Malaya selama 12 bulan atas dakwaan dokumen palsu berkaitan kelayakan pemain.

Terbaharu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap pemain berkenaan sementara menunggu keputusan muktamad rayuan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top