KUALA LUMPUR: TikTok memaklumkan bahawa platform e-dagangnya, TikTok Shop, akan memperkenalkan Yuran Sokongan Platform sebanyak RM0.50 bagi setiap jualan berjaya, atau RM0.54 selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang akan berkuat kuasa mulai 15 Februari 2026.
Menurut makluman yang dilaporkan media tempatan, yuran tersebut akan dikenakan ke atas setiap barangan yang berjaya dihantar kepada pembeli, tanpa mengira harga barangan, dan merupakan tambahan kepada caj sedia ada yang telah dikenakan kepada penjual di platform berkenaan.
TikTok turut menjelaskan bahawa barangan yang telah dihantar tetapi dibatalkan atau dipulangkan semula masih tertakluk kepada yuran tersebut. Bagaimanapun, pembelian yang dibatalkan sebelum proses penghantaran dibuat layak menerima pemulangan yuran berkenaan.
Langkah ini dijangka memberi kesan khususnya kepada penjual kecil dan peniaga yang menjual barangan berharga rendah, memandangkan caj tetap akan dikenakan bagi setiap transaksi yang berjaya diselesaikan.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa platform e-dagang lain sebelum ini turut memperkenalkan caj sokongan atau yuran transaksi tambahan kepada penjual. Antaranya, Shopee yang telah melaksanakan caj serupa yang berkuat kuasa mulai 16 Julai 2025.
Setakat ini, pengenalan yuran tersebut dilaporkan berdasarkan makluman kepada komuniti penjual dan liputan media tempatan, sementara pengumuman rasmi dalam bentuk kenyataan media masih belum dikeluarkan oleh pihak TikTok.
NH Online akan terus memantau perkembangan lanjut berhubung pelaksanaan yuran ini dan kesannya terhadap ekosistem e-dagang tempatan.
