Mahkamah Tinggi hari ini menolak rayuan pereka fesyen Jovian Mandagie untuk mengetepikan perintah kebankrapan terhadapnya berhubung pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta termasuk faedah.
Mahkamah turut menolak permohonannya untuk menggantung pelaksanaan perintah tersebut dan memerintahkan beliau membayar kos RM10,000.
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili syarikat pembinaan kejuruteraan Cekap Air Sdn Bhd berkata keputusan itu dibuat Hakim Jamhirah Ali dalam prosiding di dalam kamar.
Perintah kebankrapan terhadap Jovian sebelum ini dikeluarkan pada 3 Julai tahun lalu selepas mahkamah membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November 2024.
Cekap Air memfailkan notis kebankrapan pada 21 Mei 2024 selepas Jovian gagal mematuhi penghakiman terus yang diberikan Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun sama.
Melalui penghakiman itu, Jovian diperintahkan membayar RM5,284,340.66 termasuk faedah susulan pinjaman RM5 juta yang didakwa dipinjam secara lisan pada 25 Februari 2022 dan perlu dilunaskan dalam tempoh 12 bulan.
Syarikat tersebut mendakwa wang dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen berkenaan, namun bayaran semula tidak dibuat sehingga membawa kepada tindakan undang-undang.
