Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 596 kes baharu jangkitan Tuberkulosis (Tibi) dalam minggu epidemiologi lalu. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes tibi pada tahun ini sebanyak 3,161 kes.
Negeri dengan kes tertinggi adalah Sabah (755), diikuti Selangor (596), Sarawak (332), Johor (280), Kuala Lumpur & Putrajaya (244), Kedah (181), Pulau Pinang (172), Perak (154), Kelantan (121), Pahang (103), Terengganu (74), Negeri Sembilan (62), Melaka (48), Perlis (21) dan Labuan (18).
KKM menekankan bahawa risiko penularan tibi boleh meningkat sekiranya seseorang terdedah lama di ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan. Penyakit ini merebak melalui udara apabila penghidap tibi paru-paru aktif batuk, bercakap, atau bersin. Namun, tibi tidak merebak secepat influenza atau Covid-19 dan biasanya memerlukan pendedahan yang berulang.
Dengan kehadiran bulan Ramadan, KKM menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mengamalkan langkah kesihatan kendiri, terutama ketika menghadiri majlis berbuka puasa, kunjungan ke bazar Ramadan, atau aktiviti sosial lain.
Jaga diri, jaga orang tersayang. Jika bergejala, segera dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital terdekat.
