PUTRAJAYA: KESUMA terus mempergiat sesi libat urus bersama pemain industri dan wakil pekerja gig menjelang penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang dijangka berkuat kuasa hujung Mac ini.
Menteri Sumber Manusia, R Ramanan berkata, proses menggubal akta baharu bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan penelitian rapi, keseimbangan dasar serta perbincangan mendalam bagi memastikan perlindungan pekerja terjamin tanpa menjejaskan kelangsungan industri.
Menurut beliau, dalam sesi libat urus terbaharu yang berlangsung semalam, ruang seluas-luasnya diberikan kepada setiap wakil untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan soalan serta mencadangkan penambahbaikan terhadap kerangka pelaksanaan akta berkenaan.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuk perlindungan sosial, caruman keselamatan, mekanisme penyelesaian pertikaian, struktur pendapatan yang lebih adil serta peranan penyedia platform dalam memastikan keseimbangan tanggungjawab bersama.
“Saya akan membawa setiap isu yang dibangkitkan ke sesi libat urus seterusnya bersama pihak berkepentingan lain termasuk penyedia platform,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan serta beberapa pertubuhan mewakili sektor gig, termasuk Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia serta Gabungan eHailing Malaysia.
Ramanan menegaskan, dasar yang baik lahir daripada kefahaman mendalam terhadap realiti di lapangan. Mendengar sendiri suara pekerja gig, katanya, memberi perspektif yang tidak mungkin diperoleh hanya melalui laporan atau statistik semata-mata.
Beliau turut mengakui bahawa sektor gig kini bukan lagi bersifat kecil atau sementara, sebaliknya menjadi sebahagian penting daripada nadi ekonomi negara. Ramai dalam kalangan pekerja gig merupakan penyumbang utama pendapatan keluarga, malah ada yang memilih kerjaya ini sebagai pilihan jangka panjang.
“Pendekatan dasar tidak boleh bersifat separuh jalan. Kerangka ini mesti komprehensif, realistik dan berpaksikan kesejahteraan pekerja,” katanya.
Pada 9 September 2025, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha melindungi lebih 1.2 juta pekerja gig di Malaysia. Akta 872 kemudiannya diwartakan pada 31 Disember 2025 selepas mendapat perkenan diraja pada 16 Disember 2025.
Penguatkuasaan akta ini dijangka menjadi titik penting dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial pekerja gig, selain memastikan ekosistem industri kekal mampan dan seimbang untuk semua pihak.
