Umum

Kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Ditembak Dalam Insiden Awal Pagi

🚨 Kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam Ditembak Dalam Insiden Awal Pagi

BUKIT KAYU HITAM: Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam ditembak dalam satu kejadian awal pagi tadi ketika beliau dalam perjalanan menunaikan solat Subuh.

Mangsa, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi, sekitar satu kilometer dari sempadan Malaysia–Thailand.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, mangsa sedang memandu ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam yang menaiki motosikal dan memakai topi keledar jenis ‘full-face’.

“Seorang suspek melepaskan dua das tembakan yang mengenai pintu kanan belakang dan pintu penumpang hadapan kenderaan mangsa. Bagaimanapun, mangsa tidak cedera,” katanya dalam sidang media hari ini.

Suspek Lolos Ke Kawasan Perindustrian

Sejurus kejadian, mangsa yang memandu bersendirian cuba mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer, namun kedua-dua individu tersebut berjaya meloloskan diri ke kawasan perindustrian berhampiran.

Mangsa kemudian memandu kenderaan jenis Proton X70 miliknya ke Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk membuat laporan.

Disyaki Ada Unsur Dendam Sindiket

Menurut Adzli, polis tidak menolak kemungkinan insiden itu berpunca daripada rasa tidak puas hati sindiket yang aktif di kawasan sempadan.

Beliau berkata, AKPS Bukit Kayu Hitam mencatatkan pelbagai kejayaan rampasan dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, termasuk rampasan 100 tan beras serta daging khinzir.

“Ini mungkin menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan sindiket. Selain itu, pihak polis juga banyak membuat tangkapan penyeludup dan migran yang berpusat di sini,” katanya.

Mangsa difahamkan bertanggungjawab terhadap penugasan di kompleks ICQS berkenaan.

Siasatan Di Bawah Akta Senjata Api

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

Polis sedang menyiasat kes dari semua sudut termasuk kemungkinan motif berkaitan aktiviti penyeludupan di sempadan.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top