Masjid At-Taqwa TTDI Nafi Dakwaan Diboikot, Kehadiran Iftar Cecah 1,000 Jemaah Sehari
KUALA LUMPUR – Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail menafikan dakwaan kononnya masjid itu diboikot susulan satu hantaran tular di aplikasi Threads yang memaparkan suasana lengang ketika waktu berbuka puasa, Ahad lalu.
Pengerusinya, Mohd Fadzli Yusof berkata, pihak masjid mengambil perhatian terhadap hantaran dimuat naik pada 22 Februari lalu sekitar jam 6.32 petang yang menunjukkan keadaan belum dipenuhi jemaah.
Menurut beliau, jemaah lazimnya mula memenuhi ruang masjid sekitar jam 7 malam dan kehadiran bagi majlis berbuka puasa tahun ini adalah konsisten seperti Ramadan sebelum ini.
“Jumlah kehadiran bagi berbuka puasa adalah antara 800 hingga 1,000 orang setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan, Agil Faisal Ahmad Fadzil turut menjelaskan bahawa isu boikot yang tular adalah tidak benar.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kemungkinan terdapat pengalaman kurang menyenangkan yang pernah dialami segelintir jemaah.
“Ada yang melibatkan jemaah, ada juga cerita lama malah ada yang lebih 20 tahun dan kebanyakannya datang daripada jemaah muslimat.
“Semua maklum balas ini wajar diteliti dengan baik dan berhemah. Kenyataan rasmi pihak masjid akan dikeluarkan, insya-ALLAH,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan selamat menunaikan ibadah di bulan Ramadan dan menjemput orang ramai hadir berbuka puasa serta menunaikan solat tarawih di masjid tersebut.
Menurutnya, sejak 1 Ramadan sehingga kini, sekitar 1,000 jemaah hadir berbuka puasa setiap hari di masjid berkenaan.
