Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membayar dividen sebanyak RM20 bilion kepada kerajaan bagi tahun 2026 berdasarkan kemampuan kewangannya selepas mengambil kira keperluan pertumbuhan dan pelaburan semula.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata jumlah tersebut telah diluluskan oleh lembaga pengarah syarikat.
“Jumlah itu masih dalam kemampuan kami selepas menilai keperluan untuk pertumbuhan dan pelaburan semula selain membayar pinjaman serta memastikan peruntukan mencukupi bagi operasi dalaman,” katanya selepas pengumuman prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan 2025 di Kuala Lumpur.
Dividen 2025 Cecah RM32 Bilion
Bagi tahun kewangan 2025, lembaga pengarah Petronas meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM32 bilion, susulan perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM41.6 bilion.
Menurut beliau, panduan perbelanjaan modal bagi tempoh lima tahun akan datang dianggarkan secara purata antara RM45 bilion hingga RM50 bilion setahun, bergantung kepada fasa pelaksanaan projek.
Petronas kekal sebagai antara penyumbang terbesar kepada hasil kerajaan, dengan pembayaran dividen mencecah berbilion ringgit setiap tahun.
Sebagai rekod, syarikat minyak dan gas nasional itu membayar dividen sebanyak RM32 bilion tahun lalu, manakala pembayaran terendah dalam tempoh sedekad ialah RM16 bilion pada 2016 dan 2017.
Kerajaan Perlu Kurangkan Kebergantungan
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menyatakan kerajaan tidak boleh terlalu bergantung kepada dana Petronas.
Beliau menegaskan kerajaan perlu menerima hakikat pengurangan pembayaran dividen tersebut sebagai sebahagian daripada langkah pengurusan fiskal yang lebih mampan.
