Umum

Malaysia Airlines Lanjut Gantung Penerbangan ke Qatar, Arab Saudi Hingga 4 Mac

Malaysia Airlines melanjutkan penggantungan semua penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah sehingga 4 Mac 2026 susulan perkembangan keselamatan serantau yang semakin memuncak.

Menurut syarikat induknya, Malaysia Aviation Group Bhd (MAG), keputusan itu dibuat berikutan penutupan berterusan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.

Penggantungan ini adalah lanjutan daripada pembatalan penerbangan yang telah dilaksanakan bermula 28 Feb hingga 1 Mac.

Penerbangan London, Paris Tidak Terjejas

Bagaimanapun, penerbangan lain termasuk ke dan dari London serta Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris, masih beroperasi mengikut jadual.

Menurut kenyataan, semua penerbangan berkenaan menggunakan laluan alternatif yang mengelak zon konflik terjejas.

Bantuan Kepada Penumpang

MAG memaklumkan penumpang sedang dimaklumkan dan diberikan bantuan pengurusan perjalanan alternatif sekiranya perlu.

Penumpang dinasihatkan mengemas kini butiran perhubungan menerusi fungsi “My Booking” bagi menerima maklumat terkini.

Bantuan turut disediakan melalui sokongan sembang langsung di laman web rasmi serta pusat hubungan global Malaysia Airlines.

Ketegangan Timur Tengah Meningkat

Ketegangan meningkat selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta kemudahan tentera AS di rantau itu.

Terdahulu, kira-kira 55 jemaah umrah Malaysia dilaporkan terkandas di Jeddah susulan pembatalan penerbangan awal pagi Sabtu.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top