Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASIL) memaklumkan portal MyTax kini telah pulih sepenuhnya dan kembali beroperasi seperti biasa selepas mengalami gangguan ketidakstabilan sejak pagi tadi.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan petang ini, sistem masih boleh diakses sepanjang tempoh gangguan, namun sebahagian pengguna dilaporkan mengalami kelewatan capaian.
Gangguan itu berlaku sehari selepas perkhidmatan e-Filing bagi Tahun Taksiran 2025 dibuka secara rasmi pada 1 Mac.
Lebih 320,000 Borang Diterima
HASIL memaklumkan bahawa sejak pembukaan e-Filing, lebih 320,000 Borang B dan Borang BE telah diterima daripada pembayar cukai individu.
Jumlah berkenaan mencerminkan tahap pematuhan dan komitmen berterusan rakyat Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab percukaian secara sukarela.
Dalam kenyataan sama, HASIL merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama pembayar cukai sepanjang tempoh gangguan teknikal tersebut.
Agensi itu turut menegaskan komitmen untuk memastikan sistem perkhidmatan berada pada tahap optimum demi kemudahan semua pengguna.
Pastikan Elak Penalti & Sekatan
Seiring dengan musim e-Filing, pembayar cukai diingatkan supaya memastikan pengisian dan penghantaran borang dibuat dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan penalti atau tindakan sekatan.
Bagi panduan lanjut mengenai risiko kelewatan, tindakan penguatkuasaan serta langkah mengelakkan penalti, baca artikel berkaitan di NH Online:
Baca juga: Cara Elak Penalti & Sekatan Akaun Musim Cukai
Saluran Rasmi Pertanyaan
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui:
- Hasil Contact Centre (HCC): 03-8911 1000 / +603-8911 1000 (luar negara)
- HASIL Live Chat
- Borang Maklum Balas di portal rasmi HASIL
Musim e-Filing bagi Tahun Taksiran 2025 kini sedang berlangsung.
