Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac 2026 kepada semua sekolah di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
KPM dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada warga sekolah membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Menurut kementerian itu, berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah dalam Kumpulan A telah diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac 2026.
Manakala sekolah dalam Kumpulan B pula diperuntukkan dua hari cuti tambahan iaitu pada 19 dan 20 Mac 2026.
KPM turut memaklumkan bahawa kalendar akademik penuh bagi tahun 2026 boleh dirujuk menerusi laman rasmi kementerian.
Pengumuman cuti tambahan itu dijangka memudahkan perancangan perjalanan pulang ke kampung serta persiapan sambutan Aidilfitri bagi pelajar, guru dan ibu bapa.
