Ujian sistem bayaran jalan bagi laluan ke Genting Highlands akan bermula pada 2 April ini, menurut pengendali jalan, Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB).
Menurut LCSB, ujian tersebut akan dijalankan di dua lokasi utama iaitu di pintu masuk Genting Sempah dan bulatan Gohtong Jaya, bagi memastikan sistem berfungsi dengan lancar sebelum pelaksanaan penuh.
“Sepanjang tempoh ujian, tiada bayaran akan dikenakan untuk menggunakan Jalan Genting Highlands.
“Bagaimanapun, pengguna jalan yang dibenarkan masih diwajibkan mengetap kad pembayaran mereka, seperti Touch ‘n Go atau kad debit/kredit, di setiap gantri untuk tujuan ujian,” menurut notis pemberitahuan awam bertarikh 23 Mac.
Setakat ini, LCSB tidak memaklumkan tempoh ujian tersebut akan berlangsung.
Dalam masa sama, pemandu diminta terus mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya di kawasan berkenaan, termasuk sebarang keperluan tambahan yang mungkin diperkenalkan sepanjang tempoh ujian.
“Ini penting bagi memastikan operasi berjalan lancar dan akses kekal selamat untuk semua pengguna jalan raya,” katanya.
Sebelum ini, pada November tahun lalu, Genting Malaysia Bhd mengesahkan rancangan untuk mengenakan bayaran ke atas kenderaan yang menggunakan jalan persendirian ke pusat peranginan itu.
Langkah tersebut diambil berikutan peningkatan kos penyelenggaraan bagi jalan sepanjang 24 kilometer itu, yang telah ditanggung syarikat sejak tahun 1960-an.
Bagaimanapun, kadar bayaran yang bakal dikenakan masih belum diumumkan setakat ini.
Nota: Pengguna dinasihatkan bersedia dengan kad pembayaran masing-masing walaupun tiada caj dikenakan sepanjang tempoh ujian.
