Umum

Polis Tahan 25 ‘Ulat Foto’ di KLCC, Didakwa Paksa Pelancong Bayar Gambar

Gambar Hiasan

Polis menahan 25 individu dipercayai terlibat dalam kegiatan jurugambar tidak berlesen atau ‘ulat foto’ yang didakwa memaksa pelancong dan pengunjung membayar untuk bergambar di sekitar KLCC, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 24 warga tempatan termasuk seorang wanita dan seorang warga Filipina berusia antara 16 hingga 48 tahun.

“Tangkapan dibuat menerusi operasi bermula jam 10 malam hingga 1 pagi, melibatkan dua lokasi tumpuan utama iaitu sekitar KLCC dan Jambatan Saloma,” katanya dalam sidang media.

Paksa Bayar Untuk Bergambar

Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menjadikan aktiviti mengambil gambar secara paksa sebagai sumber pendapatan dengan bergerak dalam kumpulan di kawasan tumpuan pelancong.

“Mereka dipercayai mendekati pelancong dan pengunjung sebelum mengenakan bayaran tertentu untuk gambar yang diambil,” katanya.

Direman 3 Hari, Siasatan Dokumen Diragui

Semua suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara.

Menurut Sazalee, pihaknya turut menjalankan semakan lanjut bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) susulan keraguan terhadap ketulenan dokumen pengenalan diri milik suspek.

“Semakan awal mendapati terdapat kad pengenalan yang tidak sepadan dengan cap jari, menunjukkan kemungkinan pemegang bukan warganegara,” katanya.

Kaitkan Dengan Kes Serangan

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menyiasat kes menyerang dua individu di Persiaran KLCC pada 22 Mac lalu di bawah Seksyen 148/324 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, seramai 18 individu telah ditahan pada 27 Mac di kawasan sama bagi membantu siasatan kes tersebut.

Polis Tingkatkan Pemantauan

Pihak polis akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan ‘ulat foto’ ini.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.


PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top