Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan bahawa dakwaan tular mengenai kenaikan tarif elektrik bermula April adalah tidak benar dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Dalam kenyataan rasmi, TNB memaklumkan mesej serta visual yang tersebar di media sosial berhubung perkara itu adalah palsu.
Menurut syarikat utiliti nasional itu, sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini adalah tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), yang telah dilaksanakan sejak Julai 2025.
Jelas TNB, kadar AFA ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing, dengan pelarasan dibuat secara bulanan dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
“Sebarang perubahan berkaitan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi melalui saluran sah TNB,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, TNB memaklumkan pihaknya akan melaporkan penyebaran maklumat tidak benar berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
TNB turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat, termasuk:
- Tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan
- Merujuk hanya kepada pengumuman rasmi daripada TNB
- Menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut atau membuat semakan melalui saluran rasmi TNB seperti Facebook TNB Careline, platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke [email protected].
