Umum

3 Maut Nahas Segamat, Pemandu Treler Positif Dadah

Tiga individu maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM212, Jalan Johor Bahru–Seremban berhampiran persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad, berkata kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler melanggar bahagian belakang sebuah van yang dinaiki mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, van hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan,” katanya.

Tiga mangsa yang berada dalam van disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dua lagi penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke Hospital Segamat untuk rawatan lanjut.

Pemandu lori dan treler dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Menurut polis, pemandu treler telah ditahan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat bagi permohonan reman.


Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian.

Komander Operasi, Zainal Abidin Che Deraman, berkata operasi melibatkan kerja menyelamat mangsa yang tersepit serta pembersihan kawasan kemalangan, dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.35 petang.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top