Business

Ikano Centres Perkenal Hab Makanan Baharu di PJ dan Johor Bahru

Ikano Centres mengumumkan pelancaran dua hab menjamu selera baharu iaitu IPC Gourmet Hall di Pusat Beli-belah IPC dan Toppen Foodland di Pusat Beli-belah Toppen, yang dijadualkan dibuka pada Disember 2026.

Inisiatif ini bertujuan mempertingkatkan pengalaman membeli-belah dengan menawarkan ruang sosial yang lebih dinamik untuk komuniti menikmati makanan dan meluangkan masa bersama.

IPC Gourmet Hall bakal dibangunkan di Pusat Beli-belah IPC dengan keluasan kira-kira 43,000 kaki persegi dan menempatkan 39 premis makanan dan minuman.

Konsepnya menampilkan suasana elegan namun mesra, dengan elemen kehijauan dalaman serta susun atur terbuka yang memberi keselesaan kepada pengunjung.

Pelbagai pilihan tempat duduk turut disediakan, termasuk meja sosial dan ruang santai, bagi menggalakkan interaksi dalam kalangan pengunjung.

Sementara itu, Toppen Foodland di Pusat Beli-belah Toppen di Johor Bahru akan tampil sebagai hab sosial yang lebih bertenaga dengan konsep “New eats, New vibes”.

Ruang seluas 35,000 kaki persegi itu dijangka menempatkan 32 premis termasuk restoran dan kiosk Grab & Go, dengan reka bentuk moden berinspirasikan gaya industri.

Pembangunan ini turut melengkapkan penawaran sedia ada di Toppen, termasuk kehadiran Jaya Grocer, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup utama di selatan tanah air.

Pengarah Urusan Ikano Centres, Adrian Mirea, berkata projek ini mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam membina lebih daripada sekadar ruang runcit.

“Kami mahu mewujudkan destinasi yang menghubungkan komuniti dan memberi pengalaman bermakna dalam kehidupan seharian,” katanya.

Ikano Centres, yang merupakan sebahagian daripada Ikano Retail dan berkait rapat dengan jenama IKEA, terus komited membangunkan destinasi runcit bersepadu selari dengan perubahan gaya hidup pengguna.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top