Umum

Waspada: Lindungi Diri Daripada Penipuan Aplikasi Palsu Bermalware

Waspada: Lindungi Diri Daripada Penipuan Aplikasi Palsu Bermalware

Penjenayah siber kini semakin licik menggunakan aplikasi mudah alih palsu yang mengandungi malware untuk mencuri maklumat peribadi dan perbankan pengguna.

Orang ramai dinasihatkan agar memahami taktik yang digunakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan ini.

Bagaimana Penipuan Ini Berlaku?

Modus operandi scam ini lazimnya melibatkan tiga peringkat utama:

  • Hubungan pertama: Mangsa dihubungi melalui SMS, WhatsApp, Telegram atau media sosial dengan mesej yang mencetuskan rasa cemas atau menawarkan sesuatu yang menarik seperti kemas kini penghantaran bungkusan, tawaran kerja atau promosi eksklusif.
  • Umpan: Mangsa diminta memuat turun aplikasi tertentu untuk tujuan seperti menjejak bungkusan, membuat pembayaran atau membuka jemputan digital. Pautan diberikan biasanya membawa ke sumber tidak rasmi di luar stor aplikasi sah.
  • Pencerobohan: Setelah dipasang, aplikasi tersebut akan meminta akses kepada SMS, kenalan atau storan peranti. Ini membolehkan scammer mendapatkan maklumat sensitif termasuk data peribadi dan perbankan.

Fikir Sebelum Klik: Tip Keselamatan

Bagi mengelakkan menjadi mangsa, pengguna disaran mengambil langkah berikut:

  • Elakkan membuka pautan daripada sumber tidak dikenali
  • Muat turun aplikasi hanya melalui platform rasmi seperti Apple App Store dan Google Play Store
  • Semak kebenaran yang diminta sebelum memasang aplikasi
  • Berwaspada dengan tawaran yang terlalu lumayan atau mencurigakan

Apa Perlu Dilakukan Jika Disyaki Terkena Malware?

Jika anda mengesyaki peranti telah diceroboh, ambil tindakan segera:

  • Sekat akaun: Nyahaktifkan akses perbankan dalam talian secepat mungkin (contohnya melalui fungsi keselamatan seperti “Kill Switch” jika tersedia)
  • Hubungi bank: Maklumkan kepada pihak bank untuk tindakan lanjut
  • Lapor kepada pihak berkuasa: Hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan buat laporan polis

Ingat: Kesedaran adalah benteng pertama dalam melindungi diri daripada penipuan siber. Sentiasa berwaspada dan semak sebelum klik.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top