Persiapan musim haji 2026 berjalan lancar setakat ini dengan penerbangan pertama jemaah Malaysia ke Tanah Suci kekal dijadualkan pada 18 April, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan termasuk krisis Asia Barat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, berkata segala perancangan berada pada landasan tepat dan Lembaga Tabung Haji (TH) turut menyediakan pelan luar jangka yang komprehensif bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Apa yang boleh saya rumuskan, setakat ini rancangan haji berjalan seperti dirancang. Insya-Allah, kita doakan penerbangan pertama akan berlepas ke Tanah Haram pada 18 April,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), baru-baru ini.
Menurutnya lagi, kecekapan pengurusan haji Malaysia yang diiktiraf antara terbaik di dunia menjadi kelebihan utama dalam memastikan kelancaran operasi, termasuk ketika berdepan cabaran global.
“TH juga mempunyai pelan kontingensi yang sangat baik. Ini adalah kekuatan negara kita dalam menguruskan hal ehwal jemaah haji,” katanya.
Zulkifli turut memaklumkan hasil lawatannya ke Makkah dan Madinah baru-baru ini bagi menghadiri mesyuarat bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, menunjukkan perkembangan yang positif.
“Persiapan untuk jemaah Malaysia di Makkah dan Madinah dibuat dengan rapi dan teliti. Malah, ia dilihat lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” jelasnya.
Untuk rekod, Malaysia menerima kuota sebanyak 31,600 jemaah bagi musim haji tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, memaklumkan penerbangan haji dijadualkan bermula pada 18 April dan berakhir pada 20 Mei, dengan hari wukuf dijangka jatuh pada 26 Mei.
Dalam suasana ketidaktentuan global termasuk krisis tenaga dan geopolitik, perkembangan ini memberi isyarat positif bahawa pengurusan ibadah haji Malaysia kekal stabil, terancang dan berdaya tahan.
