RTM, Unifi TV Sah Penyiar Piala Dunia 2026 — Ada Siaran Percuma Untuk Rakyat Malaysia
PETALING JAYA — Peminat bola sepak tempatan akhirnya mendapat jawapan yang ramai tunggu-tunggu menjelang Piala Dunia FIFA 2026.
Kerajaan mengesahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV akan menjadi penyiar rasmi kejohanan terbesar dunia itu di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siaran kejohanan akan disediakan melalui beberapa platform termasuk siaran percuma menerusi MyTV selain penstriman OTT seperti RTMKlik dan Unifi TV.
Menurut beliau, Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung, manakala RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.
“Ini memberikan kepelbagaian pilihan tontonan kepada peminat bola sepak di Malaysia.
“Kerajaan MADANI komited memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat menikmati Piala Dunia FIFA 2026 secara inklusif, sah dan menyeluruh,” katanya.
Boleh Tonton Di TV, Telefon Dan Tablet
Selain siaran televisyen, peminat juga boleh mengikuti aksi Piala Dunia menerusi aplikasi RTMKlik dan platform Unifi TV.
Ini bermakna ramai rakyat Malaysia berpeluang menonton perlawanan di mana-mana sahaja tanpa perlu bergantung kepada televisyen semata-mata.
RTM juga dijangka menyediakan kandungan tambahan termasuk liputan khas dari Angkasapuri serta segmen berkaitan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Acara Tontonan Awam Turut Dirancang
Dalam masa sama, Fahmi berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penganjuran acara tontonan awam di beberapa lokasi terpilih bagi memeriahkan suasana Piala Dunia.
Menurut beliau, beberapa penaja utama juga sudah dikenal pasti dan sedang dimuktamadkan sebelum diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan penyiaran atau pengedaran kandungan secara tidak sah.
Katanya, tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti cetak rompak akan terus diperkukuhkan menjelang kejohanan itu nanti.
Netizen Dah Mula Excited
Pengumuman itu mula menarik perhatian ramai peminat bola sepak tempatan yang sudah tidak sabar menantikan suasana berjaga awal pagi sepanjang musim Piala Dunia nanti.
Ramai juga mula bertanya sama ada semua perlawanan besar akan disiarkan secara percuma menerusi RTM dan RTMKlik.
Ada juga yang mengimbau kembali pengalaman menonton Piala Dunia beramai-ramai di mamak, rumah keluarga dan kawasan tontonan awam setiap kali kejohanan berlangsung.
Korang team berjaga pagi tengok live atau tunggu highlight je masa World Cup nanti?
