Umum

Piala Sultan Pahang 2026 kembali dengan hadiah lebih RM150,000

Piala Sultan Pahang 2026 kembali dengan hadiah lebih RM150,000

GENTING HIGHLANDS, 7 Mei 2026 — Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026 bakal kembali dengan edisi kedua yang dijangka lebih kompetitif, menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM150,000 kepada pemain golf amatur.

Dianjurkan di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Sultan Pahang, kejohanan ini bertujuan memperkasa pembangunan golf amatur di negeri Pahang sambil mempromosikan sektor pelancongan sukan.

Sirkit kali ini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang, melibatkan beberapa lokasi golf utama di negeri tersebut.

Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melaksanakan pukulan simbolik (tee-off) sebagai gimik pembukaan Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2026.

Empat siri kejohanan

Kejohanan akan berlangsung menerusi empat siri utama:

  • Siri 1: 27 Jun 2026 — Villea Rompin Golf Resorts, Rompin
  • Siri 2: 25 Julai 2026 — Royal Pekan Golf Club, Pekan
  • Siri 3: 29 Ogos 2026 — Royal Pahang Golf Club, Kuantan
  • Grand Finale: 5 September 2026 — Resorts World Awana, Genting Highlands

Antara kategori dipertandingkan termasuk Terbaik Gross, Terbaik Medal A & B (Nett) serta kategori wanita.

Selain hadiah wang tunai dan barangan bernilai tinggi, pemain turut berpeluang merebut Piala Cabaran Sultan Pahang yang menjadi simbol prestij kejohanan.

(Dari Kiri) Encik Mahadir Bin Abdul Raffar, Encik Ahmad Azizul Rahim Bin Abdul Aziz, Encik
Spencer Lee, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar
Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Bin Sharif, Encik Haeruddin Bin Sanusi dan Cik Nurul Ain Binti Mohd Nor bergambar bersama dengan plak simbolik.

Penyertaan dibuka kepada pemain amatur

Kejohanan ini terbuka kepada pemain amatur yang memiliki indeks handicap WHS sah.

Penyertaan dihadkan kepada 100 pemain lelaki dan 52 pemain wanita bagi keseluruhan siri kejohanan.

Yuran penyertaan bermula RM3,000 bagi lelaki dan RM1,500 bagi wanita.

Pengerusi Kejohanan Piala Sultan Pahang 2026, YB Dato Sri Shafik Fauzan berkata, kejohanan itu bukan sekadar platform pertandingan tetapi juga medium memupuk disiplin dan semangat kesukanan.

“Piala Sultan Pahang bukan sekadar pertandingan, tetapi sukan berdisiplin, ketepatan dan semangat kesukanan.

Sirkit 2026 ini menjanjikan kelas lebih tinggi dan penyertaan pemain golf tempatan serta mempromosikan lapangan kelab golf di negeri Pahang sebagai destinasi pelancongan golf,” katanya.

Majlis pelepasan rasmi kejohanan telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Resorts World Awana Genting pada 7 Mei 2026.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan lanjut menerusi Facebook rasmi PSP2026.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top